Kecik-kecik dulu aku sangat suka balik kampung sebelah bapak aku. Bukan bermakna bila dah besar aku tak suka. Laaaagi la suka sebab aku boleh pulang ke Jakarta membawa kekayaan.
Aku suka kampung aku sebab aku rasa kampungku syurgaku. Tanah yang sangat luas ( jika dinisbahkan dengan saiz aku sebagai budak tadika KEMAS waktu itu ), ada kolam ikan, sungai dan air terjun. Belum kira ada basikal cap 'Raleigh' dan ' Wrangler' untuk aku berkeliling kampung setiap hari tak kira hujan ribut panas terik. Pagi-pagi bonceng basikal arwah atuk pegi kedai Cik Awal beli nasi lemak, roti canai dan kuih 'gedebong'. Aku pun tatau nama sebenar kuih 'gedebong' tu.
Dan paling menyeronokkan, ada ramai pakcik-pakcik yang melayan. Dan mengkorupkan otak aku.
Contohnya kalau pagi-pagi aku nampak kabus kat gunung, aku akan tanya pakcik aku, " Apa kat gunung tu?"
Dan mereka akan menjawab, " Ooo, itu ada gergasi tengah hisap rokok."
Aku pun terima bulat-bulat.
Ataupun kalau petang-petang nak dekat Maghrib mereka akan menyuruh aku masuk ke rumah cepat-cepat. Ada Hanjian, kata diorang. Aku membayangkan yang seram-seram. Aku bayangkan suatu makhluk besar, hitam legam dan berbulu akan menculik aku. Dan setiap kali kalau pakcik aku menyebut nama Hanjian, aku menggelupur.
Sampai la aku dah berakal sikit, aku bari tau bahawa Hanjian itu adalah jurulatih badminton negara yang berasal dari Korea.